Berdasarkan kepada sukatan pelajaran, Pendidikan Jasmani dibahagikan kepada tiga
tunjang utama iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Dalam konsep tunjang
kecergasan, ia menitikberatkan keupayaan murid melakukan aktiviti fizikal secara
berterusan tanpa merasa lesu.
Konsep kecergasan keseluruhan dibahagikan
kepada dua komponen utama iaitu kecergasan berasaskan kesihatan dan kecergasan
berasaskan perlakuan. Kecergasan berasaskan kesihatan merangkumi elemen-elemen
seperti daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan, kelenturan dan
komposisi badan.
Kecergasan berasaskan kesihatan bagi komponen daya tahan
kardiovaskular ditekankan kepada murid-murid tahap satu dan tahap dua. Hal ini
supaya dapat meningkatkan tenaga murid supaya mereka tidak mudah merasa letih
meskipun melakukan pelbagai aktiviti. Antara contoh aktiviti daya tahan
kardiovaskular ialah lari ulang alik 10m, lompat ketingting mengejar rakan dan
naik turun bangku gimnastik.
Sementara kecergasan berasaskan kesihatan
bagi komponen daya tahan otot ditekankan kepada murid tahun dua sahaja. Antara
aktiviti yang disyorkan ialah bangkit tubi bengkok lutut, tekan tubi dan
melompat dua belah kaki sambil bergerak 20m. Melalui komponen ini, diharapkan
murid dapat menambahkan ketahanan kekuatan otot.
Kecergasan berasaskan
kesihatan bagi komponen kekuatan ditumpukan hanya kepada murid tahap dua kerana
ia memerlukan tenaga yang lebih untuk melakukan aktiviti berasaskan kekuatan.
Antara aktiviti tersebut ialah tolak beban berpasangan, tekan tubi dan tolak
bahu berpasangan.
Komponen kelenturan pula diutamakan pada setiap
peringkat sekolah. Komponen ini ditekankan supaya anggota badan murid-murid akan
menjadi lebih lembut. Contoh aktiviti-aktiviti yang disyorkan ialah mengilas
badan ke kiri dan ke kanan, melentik badan ke kanan kiri dan belakang dan
meregang otot-otot kaki statik.
Komponen terakhir sekali dalam kecergasan
berasaskan kesihatan ialah komposisi badan. Komponen ini diajarkan kepada murid
tahun enam sahaja. Pada ketika ini, murid-murid mula memahami perkembangan
fizikal mereka dan mengetahui tentang keadaan bentuk badan mereka. Oleh itu,
guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah mengajar murid bagaimana
mengira indeks jisim badan.
Elemen-elemen yang terdapat dalam kecergasan
berasaskan perlakuan pula ialah koordinasi, imbangan, ketangkasan, kuasa, masa
tindak balas dan kepantasan.
Tujuan utama pengajaran kecergasan
berasaskan perlakuan bagi komponen koodinasi ialah membolehkan murid-murid dapat
membuat anggaran dengan betul. Kebanyakan aktiviti-aktiviti bagi komponen ini
dilakukan dengan bantuan alat. Antara contoh-contoh aktiviti ialah golek dan
kawal gelung rotan, lambung dan pukul bola kecil serta golek dan tangkap bola
berpasangan.
Komponen imbangan pula diajar kepada semua murid tanpa
mengira tahap. Murid akan diajar aktiviti imbangan yang berunsurkan gimnastik.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti berjalan dan mengimbang di
garisan lurus dan guling depan.
Sementara komponen ketangkasan pula
diajar pada murid tahap satu dan tahap dua. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah
lari ulang alik. Namun demikian, unsur ini boleh dimasukkan ke dalam permainan
kanak-kanak seperti main sentuh ekor dan galah panjang. Pada tahap dua, lari
zig-zag akan menjadi aktiviti untuk menguji ketangkasan murid-murid. Melalui
komponen ini juga, diharapkan murid-murid berupaya memukul dan menangkap bola
kecil pelbagai aras dan arah.
Kecergasan berasaskan perlakuan bagi
komponen kuasa hanya diajar pada murid tahun enam sahaja. Ketika ini,
murid-murid boleh diuji sejauh manakah kuasa setelah menjalankan banyak
aktiviti-aktiviti kecergasan. Aktiviti yang biasa dijalankan ialah melontar
peluru dan lompat jauh.
Dalam komponen masa tindak balas, guru akan
menguji sejauh manakah tindak balas murid terhadap sesuatu rangsangan atau pun
objek. Hal ini akan meningkatkan kepekaan dan kelajuan tindak balas murid.
Contoh-contoh aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru ialah permainan sebut
nombor dan baling pundi kacang secara berpasangan.
Komponen terakhir
sekali dalam kecergasan berasaskan perlakuan ialah kepantasan. Komponen ini
hanya diajar pada murid-murid tahap dua sahaja. Murid-murid akan menjalankan
aktiviti-aktiviti seperti lari pecut 30m, melantun bola sabil berlari dan lari
berganti-ganti 50m.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan