Jumaat, 22 Jun 2012

Apakah itu Sains Sukan

Sains sukan merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal. Jadi, bidang ini merangkumi kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi, dan lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sains sukan. Sains sukan bukanlah satu bidang khas yang melatih seseorang supaya menjadi cergas dan cerdas dalam melakukan suatu permainan ataupun aktiviti dan seterusnya ditingkatkan prestasinya. Sebaliknya ia membantu memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot, dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan. Dalam erti kata lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan adalah bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan badan dan sukan.


Sains sukan juga boleh ditakrifkan dalam beberapa perspektif:



  • Akademik / intelektual: sains sukan merupakan satu ilmu pengetahuan yang memfokuskan kepada pelbagai teori, prinsip, dan kajian yang melibatkan sains. Pelbagai konsep dijanakan daripada bidang sains seperti anatomi, fisiologi kinesiologi, dan sebagainya.



  • Generik / kontemporari: sains sukan selalunya dipandang sebagai satu cabang ilmu daripada pendidikan jasmani. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua subjek mempunyai banyak persamaan. Akan tetapi, objektif masing-masing adalah tidak sama.



  • Program Sains Sukan Kebangsaan : sains sukan adalah aktiviti kesukanan yang direka bersesuaian dengan hasil kajian sains.


Sains Sukan adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana konsep-konsep yang diterap dapat membantu jurulatih bahkan pelatih dalam meningkatkan teknik-teknik dalam bidang kesihatan dan jasmani. Dalam hidup harian, kita sentiasa melalukan senaman dan kerja-kerja ringan. Kesemua aktiviti ini memerlukan teori sains sukan untuk memperbaikinya jika terdapat kesilapan semasa melalukannya. Contohnya, postur duduk dan cara mengangkat barang berat perlu disokong dengan teori sains yang mantap. Di Malaysia, subjek "sains sukan" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Namun, buku rujukan terhad dan secara tidak langsung ramai terpaksa mencari maklumat dari pelbagai sumber.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan